
Oleh: Sholina Osman
26 NOV. 2025
Umpan yang digunakan “scammer” dengan menjanjikan pulangan pelaburan cecah 1,000 peratus dalam beberapa minit ternyata menggena.
Sekalipun dilihat apa yang dijanjikan bagi pelaburan ini tidak masuk akal tetapi orang berilmu yang berjawatan pensyarah pun boleh di perangkap “scammer”.
Untung 1,000 peratus yang diharapkan ternyata hanya janji palsu sebaliknya RM1 juta wang yang dilabur masuk ke poket “scammer”.
Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Jasin, Melaka Superintendan Lee Robert di mana “scammer” memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera dan mengarahkannya memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan kononnya untuk pendaftaran akaun pelaburan.
BELAJAR TRANDING SAHAM
“Pensyarah berusia 40 tahun ini dikatakan terpikat dengan iklan ‘belajar trading saham’ yang tular di Instagram pada 28 Julai lalu,” kata Lee dalam kenyataan media pada 25 November.
Ekoran minat yang tinggi dalam pelaburan telah mendorong mangsa menekan pautan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.
Mangsa kemudiannya nekad mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan ini mampu memberi pulangan luar biasa.
Berikutan itu antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa didapati telah membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82.
SEPERTI YANG DIJANJIKAN
“Mangsa mula menyedari keuntungan seperti yang dijanjikan dalam masa dua hingga lima minit tidak berlaku setelah tidak menerima lamgsung keuntungan yang dijanjikan oleh suspek,” kata Lee.
Sebaliknya suspek meminta lagi bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum “kononnya” bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan.
Pensyarah ini telah tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu setelah menyedari
dirinya ditipu.
KES INI DISIASAT
Lee berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat, terutama jika pembayaran diminta ke akaun bank persendirian yang jelas mungkin satu penipuan.
Katanya, orang ramai dinasihati menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa penipuan. – JM
