







Oleh: Sholina Osman
27 NOV. 2025
Jalan Wang Kelian dan View Point ditutup sepenuhnya kepada semua pengguna mulai pukul 7 malam, 26 November 2025.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asistan Komisioner Mohd Shokri Abdullah memaklumkan penutupan ini berkuatkuasa sehingga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan laluan tersebut kembali stabil, sesuai dan selamat untuk dilalui.
Beliau berkata perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat berkaitan isu keselamatan di Jalan Wang Kelian dan View Point.
“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh saya pada pukul 1 petang, 26 November ini berlangsung di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sungai Chuchuh,” kata Mohd Shokri dalam kenyataan media.
WAKIL AGENSI TEKNIKAL
Beliau berkata mesyuarat yang dianjurkan Polis Padang Besar ini juga dihadiri wakil agensi teknikal dan keselamatan iaitu Muhammad Suhaimi Jamil dari JKR;
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Noor Haris Hizami Nordin; Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muhammad Akmal Hafiz Mohd Nasir dan Mohamad Khairudin Suhaimi dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Mohd Shokri berkata pihaknya juga terus melakukan pemantauan dan tindakan bersama dengan agensi keselamatan berkaitan 24 jam di semua kawasan terjejas.
“Sebarang keputusan berhubung pembukaan semula jalan akan dimaklumkan selepas laluan disahkan benar-benar selamat oleh JKR,” tambah beliau.
MENASIHATKAN ORANG RAMAI
Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai tidak meredah kawasan banjir atas faktor keselamatan.
Sentiasa mematuhi arahan anggota bertugas di lokasi.
Elakkan perjalanan ke kawasan berbukit atau rendah yang berisiko dinaiki air.
Orang ramai dinasihatkan rujuk maklumat rasmi daripada PDRM, JKR, JBPM dan APM bagi sebarang perkembangan terkini. – JM
