





KUALA LUMPUR, 25 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai Karnival Integriti dan Anti Rasuah (KIARA) Peringkat Ibu Pejabat KWSP 2025 yang menghimpunkan kira-kira 300 warga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Lembaga KWSP, dalam ucapannya menegaskan bahawa integriti merupakan asas kelangsungan organisasi dan mengingatkan warga KWSP bahawa amanah rakyat mesti dipelihara tanpa kompromi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, YBhg. Datuk Ahmad Nizam Ismail menekankan bahawa integriti adalah amanah besar kerana KWSP mengurus dana masa depan jutaan rakyat. Beliau turut mengingatkan bahawa risiko rasuah wujud dalam setiap ruang keputusan dan menyeru warga KWSP berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu menjaga amanah rakyat, menolak rasuah dan menggunakan saluran aduan yang betul.
Dalam majlis yang sama, Datuk Ahmad Nizam turut merakamkan setinggi penghargaan kepada KWSP atas sokongan sebagai rakan strategik Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 serta menzahirkan komitmen SPRM untuk terus bekerjasama dalam pendidikan dan pengukuhan budaya integriti.
Terdahulu, PPj Tan Li Chu, Ketua Seksyen GLC Cawangan Swasta Bahagian Pendidikan Masyarakat berkongsi mengenai kesalahan utama di bawah Akta SPRM 2009 termasuk liabiliti korporat Seksyen 17A dengan menekankan keperluan kawalan dalaman dan pematuhan tanggungjawab undang-undang dalam organisasi.
