Banjir: Persatuan Wartawan Perlis terima sumbangan NGO Kembara Kitchen

Oleh: Sholina Osman
28 NOV. 2025

Persatuan Wartawan Perlis (PWP) menerima sumbangan berupq makanan dan keperluan asas daripada NGO Kembara Kitchen bagi membantu pengamal media yang terkesan akibat banjir.

Presiden PWP Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar berkata sumbangan lebih 40 paket itu merangkumi makanan siap dimakan (ready-to-eat), lampin pakai buang, susu, set kebersihan diri serta keperluan asas lain bagi meringankan beban ahli yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan ketika terputus hubungan.

“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sumbangan NGO Kembara Kitchen dari Kuala Lumpur yang prihatin dengan laporan jejak banjir oleh pengamal media sehingga sanggup menghantar sumbangan untuk para ahli PWP,” katanya ketika ditemui di tempat pengagihan sumbangan di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

TURUT DINAIKI AIR

Syed Azlan berkata pengagihan juga terpaksa dilakukan di Dewan Bankuet kerana pejabat PWP di Jalan Sekolah Derma juga turut dinaiki air.

Beliau berkata banjir kali ini juga mengakibatkan ada kalangan pengamal media rumah telah dimasuki air serta terputus jalan keluar sehingga kehabisan stok makanan.

Malah ada juga katanya rumah tidak dinaiki air tetapi terputus hubungan kerana semua jalan keluar dipenuhi air yang dalam.

Sehubungan itu kata beliau sumbangan ini sangat membantu dan amat dihargai oleh semua pengamal media yang menerimanya.

LAPAN PENGAMAL MEDIA

Beliau berkata seramai lapan pengamal media dikenal pasti paling terkesan termasuk mereka yang tidak dapat keluar rumah selama beberapa hari akibat jalan dinaiki air.

Katanya, jika terdapat lebihan bantuan, PWP sedia menyalurkannya kepada penduduk lain yang memerlukan.

Syed Muhammad Azlan berkata PWP turut menyampaikan sebahagian bantuan itu kepada keluarga Allahyarham Mohamad Asri Shafii, wartawan sambilan Astro Awani yang meninggal dunia pada 26 November lalu.

SELEPAS KERETANYA TERSEKAT

Allahyarham, 49, yang pernah berkhidmat bersama RTM dan Bernama sebelum menyertai Astro Awani, dilaporkan rebah selepas keretanya tersekat dalam banjir ketika perjalanan pulang dari tugasan liputan.

Sementara itu, wartawan sambilan Utusan Malaysia Izlizan Othman, 40, antara pengamal media yang terkandas selama tiga hari di Taman Hijrah, Kangar.

Beliau berbesar hati menerima sumbangan NGO Kembara Kitchen di mana telah membantu meringankan beban beliau sekeluarga. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *