



Oleh: Sholina Osman
28 NOV. 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima mengadap hormat Delegasi Muhammadiyah yang diketuai oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Prof. Dr. H. Haedar Nashir.
Delegasi dari Indonesia ini turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. H. Saidul Amin.
Majlis mengadap ini diadakan bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama strategik antara Muhammadiyah dengan negeri Perlis khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan masyarakat antara universiti-universiti di bawah Muhammadiyah dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Perbincangan juga menekankan kepentingan pertukaran ilmu, pengalaman, serta amalan terbaik dalam memperkukuh hubungan dua hala, selaras dengan matlamat meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan insan di peringkat serantau. – JM
