Polis KL banteras 8 sindiket penipuan “call centre”

Oleh: Sholina Osman
29 NOV. 2025

Polis Kuala Lumpur berjaya membanteras lapan sindiket penipuan “call centre” yang melibatkan penipuan dalam talian yang mensasarkan mangsa di dalam dan luar negara dengan beberapa operasi berasingan antara 10 hingga 14 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata hasil operasi tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur berjaya menumpaskan lapan “call centre” penipuan dalam talian dan menahan 57 individu yang terdiri daripada lima warga tempatan dan 52 warga asing.

“Kesemua tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur melibatkan kediaman yang dijadikan pusat operasi haram,” kata beliau dalam kenyataan media.

Fadil berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua tangkapan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi termasuk penipuan tawaran kerja tidak wujud dan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang mensasarkan warganegara asing sebagai mangsa.

MELAKUKAN KEGIATAN PENIPUAN

“Kesemua tangkapan telah dituduh di Mahkamah atas kesalahan Seksyen 1208(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam melakukan kegiatan penipuan dalam talian dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan berkenaan dokumen perjalanan bagi warga asing,” jelas beliau.

Pihak Polis akan terus mempergiat operasi secara berterusan dalam memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *