




Oleh: Sholina Osman
30 NOV. 2025
Seramai 370 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden yang berkemungkinan berlaku di Kuala Lumpur ekoran perubahan cuaca tidak menentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata langkah ini berdasarkan susulan amaran monsun dan kesan ribut tropika yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.
“Sebanyak 15 hotspot banjir telah dikenal pasti dan dipantau secara berterusan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Sebelum itu Dr Zaliha menerima taklimat daripada DBKL berhubung kesiapsiagaan menghadapi perubahan cuaca masa kini.
LAWATAN TURUN PADANG
Beliau kemudiannya diiringi Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi melaksanakan lawatan turun padang ke Jalan Masjid India dan Taman United.
“Di Jalan Masjid India, saya meninjau kawasan tanah mendap yang berlaku baru-baru ini dan telah mengarahkan DBKL untuk melaksanakan kajian terperinci supaya kejadian seperti ini tidak berulang dan keselamatan kawasan sentiasa terjamin,” jelas Dr Zaliha.
Manakala di Taman United pula, beliau meninjau lokasi tanah runtuh yang berlaku ketika hujan lebat dua minggu lalu.
52 UNIT RUMAH
“Alhamdulillah, tindakan segera telah diambil termasuk pengosongan 52 unit rumah berisiko, dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sebelum penghujung Disember ini,” kata Dr Zaliha.
Beliau juga mengarahkan DBKL dan semua agensi itu jelas: tindakan mesti pantas, penyelarasan perlu rapi dan komunikasi perlu dilaksanakan dengan jelas kepada penduduk.
“Dalam tempoh cuaca yang tidak menentu ini, kita tidak boleh berkompromi dalam urusan keselamatan rakyat,” jelas Dr Zaliha. – JM
