Banjir: Naib Canselor ketuai 30 sukarelawan UniMAP bersih pejabat Persatuan Wartawan Perlis

Oleh: Sholina Osman
30 NOV 2025

Sebanyak 30 sukarelawan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertungkus lumus membersihkan
Pejabat Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di Jalan Penjara, Kangar yang terkesan akibat banjir besar yang melanda Perlis baru-baru ini.

Pasukan ini juga turut membersihkan pejabat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Cawangan Perlis yang terletak bersebelahan di bangunan yang sama.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli juga ‘turun padang’ mengetuai pasukan sukarelawan ini yang membabitkan pelajar dan juga kakitangan UniMAP.

BAGI MEMBANTU KOMUNITI

Zaliman berkata UniMAP memang mempunyai pasukan sukarelawan UniMAP Prihatin yang digerakkan bagi membantu komuniti termasuk yang terkesan akibat banjir yang baharu berlalu.

Beliau berkata sukarelawan ini disertai oleh 300 orang yang terdiri dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), persatuan, badan kebajikan dan kakitangan universiti berkenaan.

Beliau berkata pasukan itu kini digerakkan untuk membantu operasi pasca banjir yang melibatkan agensi kerajaan dan juga sekolah-sekolah.

KORBANKAN CUTI SEMESTER

Zaliman juga menzahirkan terima kasih kepada para sukarelawan ini (pelajar) apabila sanggup korbankan cuti semester pada ketika ini untuk melakukan kerja pembersihan di agensi, sekolah dan juga rumah staff UniMAP yang terkesan akibat banjir.

Beliau juga menghargai sumbangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis membantu menyediakan kemudahan air bagi melancarkan kerja pembersihan di pejabat ini.

Sementara itu Presiden PWP
Syed Azlan Sayid Nizar pihaknya sangat berbesar hati apabila Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menawarkan pasukan sukarelawannya untuk membantu membersihkan ruang pejabat berkenaan dipenuhi kotoran air banjir.

SANGGUP BERPENAT LELAH

Syed Azlan berkata pihaknya cuma dapat menyediakan makanan sebagai menghargai sukarelawan yang sanggup berpenat lelah membersihkan pejabat PWP dan MUBARAK.

Beliau dan ahli PWP amat menghargai bantuan UniMAP yang diketuai Zaliman bersama dengan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Kapten Muhamad Azuan Mohamad Nasir. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *