Pembangunan PIP di Lembah Chuping mulakan operasi komersial pertama

Oleh: Sholina Osman
2 DIS 2025

Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) atau Pelabuhan Darat Perlis di Lembah Chuping kini telah ditauliahkan, dengan operasi komersial pertama secara manual bermula awal pagi hari ini (1 Disember 2025) sebelum berkembang kepada operasi penuh secara berperingkat menjelang Februari 2026.

Sebagai hab logistik strategik di utara Malaysia, PIP dibangunkan bagi menguruskan pergerakan kargo dan kontena rentas sempadan Malaysia–Thailand, sekali gus memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu perdagangan serantau.

Kemudahan teras seperti jalan berikat, sambungan landasan rel baharu dan infrastruktur terminal telah siap, membolehkan PIP mengambil alih operasi kontena yang sebelum ini bertumpu di Padang Besar Container Terminal (PBCT), yang sudah melebihi kapasiti operasinya.

KAPASITI FASA PERTAMA

Dengan kapasiti fasa pertama mencecah 300,000 TEU setahun, PIP dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan aktiviti logistik, pengurangan kesesakan di sempadan serta pembukaan peluang pekerjaan baharu.

PIP turut berpotensi muncul sebagai nod utama rangkaian perdagangan ASEAN dan laluan Rel Pan-Asia, termasuk memperkukuh hubungan logistik dengan China. Perkembangan ini dijangka merancakkan kemasukan pelaburan baharu dalam sektor logistik, perkilangan dan perkhidmatan sokongan industri.

Namun demikian, pelaksanaan operasi penuh masih bergantung kepada penyempurnaan aspek-aspek teknikal tertentu seperti pensijilan sistem isyarat rel (signalling) serta penyelarasan operasi rentas sempadan antara agensi Malaysia dan Thailand.

SEMPENA LAWATAN KERJA

Maklumat berkenaan dipersembahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena lawatan kerja Baginda ke Yard Rel PIP. Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut mengiring ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail; serta Ketua Pegawai Operasi PIP, Mohamad Ali Abdul Hussain.

Dalam sesi lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda berkenan meninjau beberapa kawasan utama projek termasuk Pintu Masuk Thailand, Inspection Area, Rail Siding, Equipment Shed, Control Tower dan kawasan PIP R&R.

Kerajaan Negeri Perlis, dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)serta agensi persekutuan, kekal komited memastikan PIP beroperasi sepenuhnya mengikut jadual, sekali gus berperanan sebagai pemacu baharu pembangunan ekonomi negeri melalui pembentukan sebuah hab logistik moden yang berdaya saing di peringkat serantau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *