MAHA 2026 sasar 4 juta pengunjung

Oleh: Sholina Osman
4 DIS. 2025

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung sepanjang tempoh penganjuran yang dijadual pada 28 Ogos hingga 6 September 2026.

Kenyataan media Kementeran Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan MAHA 2026 turut menyasarkan sebanyak RM8 bilion nilai pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) atau memorandum persetujuan (MOA), dengan RM58 juta nilai transaksi jualan, penyertaan lebih 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah melakukan Pra Pelancaran MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.

MENAMPILKAN VISI MALAYSIA

MAHA 2026 yang akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”
atau dalam Bahasa Inggeris “Value Creation for Food Security” yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan,
berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.

Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 ini menjadi platform untuk membina kesedaran awal, menggalakkan penyertaan dan memperkukuh komitmen rakan strategik, agensi
kerajaan, pemain industri serta media ke arah penganjuran MAHA 2026 yang lebih berimpak tinggi dan berdaya saing.

Majlis ini juga turut memperkenalkan logo, sasaran dan maskot MAHA 2026.

SESI PELEPASAN KENDERAAN

Pada penghujung acara, turut berlangsung sesi pelepasan kenderaan Road to MAHA 2026.
Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), penganjuran MAHA 2026 menegaskan komitmen Malaysia dalam menjamin bekalan makanan
yang mencukupi, selamat dan mampan di samping memacu nilai ekonomi baharu melalui inovasi dan pendigitalan.

Selain itu, agropelancongan terus diraikan sebagai jambatan komuniti, memperkukuh warisan desa, hasil tempatan dan kepelbagaian budaya Malaysia.

MAHA 2026 akan menghimpunkan petani, usahawan, pelabur dan penginovasi dalam misi
pengembangan perniagaan dan transformasi industri pertanian negara.

MENIKMATI PELBAGAI TARIKAN

Pengunjung MAHA 2026 boleh menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser, persembahan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi
1santai kopi, agropreneur muda, kiddies wonderland, agro safari, taman burung dan banyak lagi.

MAHA 2026 membuka peluang untuk memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk serta perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas dan bakal menjadi platform unggul untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor pertanian
dan agroindustri.

Melalui MAHA 2026, usahawan dan pelabur turut berpeluang meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi dan perkongsian teknologi, membangunkan pasaran import
serta eksport, serta melancarkan produk dan perkhidmatan inovatif sekali gus membuka ruang bagi pertumbuhan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro.

Penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membolehkan perniagaan
memperkukuh jaringan pelanggan sedia ada dan membina hubungan antarabangsa yang strategik, malah memberi peluang menjadi antara yang terawal mengetahui trend pasaran terkini serta meningkatkan daya saing dalam industri agro. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *