





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 DIS. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak polis tidak perlu menyiasat individu yang mengkritiknya selagi ia tidak melibatkan perbuatan jenayah.
Malah kata beliau polis juga tidak perlu mengambil tindakan terhadap pengkritik dan sebarang kritikan yang dilontarkan kepada dirinya yang bermotifkan politik.
“Saya tidak pertikai apa tujuan matlamat orang-orang yang menyerang (kerana) kadang-kadang tidak berasas tetapi saya telah mengarahkan (tiada tindakan) selain daripada kes jenayah yang jelas atau tuduhan yang agak keterlaluan yang sudah tidak ada tatasusila,” katanya pada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Cyberjaya 10, Cyberjaya hari ini.
MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT
Sementara itu dalam hantaran di FB, beliau melahirkan rasa syukur apabila pada hari Jumaat penuh keberkatan ini, berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Cyberjaya 10.
“Khutbah hari ini bertajuk “Kesejahteraan Ummah Di Bawah Naungan Sultan Berdaulat”, mengingatkan kita tentang peranan institusi kesultanan sebagai tonggak kestabilan, payung keadilan serta pelindung kemakmuran rakyat,” kata beliau.
Selesai solat Jumaat, Anwar menyertai para jemaah untuk solat jenazah dan kemudiannya bertegur sapa serta bersalaman dengan hadirin sebelum pulang ke pejabat untuk tugasan rasmi seterusnya. – JM
