






Oleh: Sholina Osman
5 DIS. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Perlis: Pantun dan Panorama yang berlangsung di Dewan Bankuet Aras 4, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selaku Pro Canselor 2 dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli.
HASIL KOLABORASI ISTIMEWA
Buku ini merupakan hasil kolaborasi istimewa antara Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan penggiat fotografi, Jasni Hashim, yang menggabungkan keindahan visual bumi Perlis dengan pantun-pantun penuh makna.
Perlis: Pantun dan Panorama mengangkat keindahan negeri Perlis melalui himpunan pantun klasik yang kaya dengan nilai budaya, diserikan dengan panorama memukau yang dirakam dengan penuh seni dan ketelitian.
Setiap pantun mengajak pembaca menelusuri warisan, kearifan tempatan serta keunikan Perlis, manakala setiap foto memberi nyawa kepada rangkap kata yang dilafazkan, menjadikan helaian buku ini satu perjalanan yang indah dan menyentuh jiwa.
KOLEKSI PANTUN BERGAMBAR
Lebih daripada sekadar koleksi pantun bergambar, buku ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pembaca dengan roh, identiti dan pesona negeri Perlis.
Ia sesuai dijadikan bahan bacaan santai, koleksi peribadi, atau sebagai hadiah bermakna kepada sesiapa yang ingin menyelami kehalusan budaya dan keindahan alam negeri ini.
Naskhah berharga ini menghimpunkan lebih 100 foto rakaman Jasni Hashim, yang dipadankan bersama pantun nukilan Sasterawan Negara merangkumi tema keagungan Ilahi, keindahan Perlis, nilai insani, pedoman hidup, kisah rakyat serta warisan budaya.
Setiap helaian mengangkat Perlis sebagai destinasi yang kaya seni visual dan sastera, selaras dengan usaha mempromosikan negeri melalui pendekatan kreatif dan berimpak. – JM
