






Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat menghadiri program “Seeds of Knowledge Volume 2” yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, yang juga merupakan pengilham serta pencetus penganjuran program wacana ilmu ini.
Demikian menurut kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Inisiatif program ini dirangka sebagai satu usaha memperluaskan akses pengayaan ilmu dan membudayakan wacana bermanfaat dalam kalangan masyarakat khususnya di Perlis.
MELALUI KERJASAMA MAIPs
Penganjuran kali ini dilaksanakan melalui kerjasama MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), dan Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan sokongan ‘Tim SK’ dan Suara Sunnah.
Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian, menandakan komitmen Baginda terhadap inisiatif ilmu yang bermanfaat kepada rakyat.
Program ini juga menjadi wadah pertemuan intelektual yang menghimpunkan tiga tokoh berpengaruh dalam bidang keusahawanan, psikologi motivasi kekeluargaan dan dakwah kontemporari, sekali gus memberi suntikan inspirasi kepada umat Perlis.
PENGASAS JENAMA FESYEN
Tiga slot utama yang diketengahkan merangkumi pengisian oleh Noor Hafizah Abd Hamid, usahawan dan pengasas jenama fesyen MINAZ yang membawakan tajuk “Kekuatan dalam Kehidupan” diikuti Aiman Azlan, kaunselor berdaftar merangkap penulis dan usahawan, dengan perkongsian bertajuk “Menghidupkan Kebaikan dalam Rumah Tangga”.
Kemuncak program pula disampaikan oleh Ustaz Mizi Wahab, pendakwah dan penulis terkenal dari Singapura, menerusi pengisian “How to Keep Your Faith Amidst Setbacks, Loss and Heartbreak”.
Sebagai keseluruhannya, penganjuran ‘Seeds of Knowledge Volume 2’ bukan sahaja memperkukuh budaya ilmu di negeri Perlis, malah memperlihatkan komitmen berterusan Institusi Diraja dalam memupuk masyarakat yang berdaya fikir, berakhlak dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri.
Program ini diharap dapat menjadi penerus momentum untuk lebih banyak usaha pencerahan ilmu pada masa akan datang. – JM
