SPR adakan mesyuarat khas urusan PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag, Sabah 16 Dis

Oleh: Sholina Osman
9 DIS. 2025

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 16 Disember ini.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata ini berikutan pihaknya
menerima pemakluman rasmi daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul, pada 8 Disember 2025 dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, pada 9 Disember 2025, berhubung dengan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka
kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan
dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

YANG AKAN DIPENGERUSIKAN

Sehubungan itu, kata beliau SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Sri Ramlan Datuk Harun.

Beliau berkata mesyuarat ini akan membincangkan tarikh-tarikh penting
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan.

Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut berakhir. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *