AGC tarik balik rayuan terhadap keputusan Rosmah dibebas kesalahan penggubahan wang haram

Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2025

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan tidak meneruskan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang telah melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada kesalahan penggubahan wang haram.

Kenyataan media AGC memaklumkan pihaknya telah memfailkan Notis Rayuan pada 20 Disember 2024 terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy pada 19 Disember 2024.

Perintah itu telah membenarkan permohonan Datin Sri Rosmah Mansor (“Tertuduh”) untuk membatalkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap beliau pada tahun 2018, di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

MENERIMA REKOD RAYUAN

AGC juga telah menerima Rekod Rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 berhubung keputusan tersebut.

Setelah meneliti sepenuhnya Alasan Penghakiman yang diperoleh, AGC memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan.

“Antara faktor yang telah diambil kira dalam mencapai keputusan tersebut ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah, memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap Tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap Tertuduh juga tidak dapat dibuktikan.

ASPEK UTAMA KES

Jabatan ini menegaskan bahawa semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan dengan rayuan diambil.

Sehubungan itu, suatu Notis Penarikan Balik Rayuan telah difailkan pada 9 Disember 2025.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk menarik balik rayuan ini tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan.

Kes rasuah berkaitan projek solar hibrid yang melibatkan Tertuduh tetap diteruskan dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.

BERKAITAN PROJEK SOLAR

Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan Tertuduh di Mahkamah Rayuan.

Jabatan ini menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti.

Keputusan yang dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang serta bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *