MoU antara MCMC-Kerajaan Negeri Melaka perkukuh kerjasama Inisiatif Bandar Pintar Melaka

Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2025

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Negeri Melaka hari ini merupakan usaha untuk
memperkukuh kerjasama strategik dalam pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar Melaka.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyaksikan pertukaran MoU antara MCMC yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Kerajaan Negeri
Melaka diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad.

Kenyataan media MCMC memaklumkan kerjasama ini sejajar dengan pelaksanaan Blueprint Melaka Pintar 2035 (SMB2035) yang menjadi panduan utama transformasi digital negeri ke arah pembangunan yang lebih lestari, berdaya huni dan berdaya tahan menjelang tahun 2035.

DALAM PELBAGAI ASPEK

MoU ini mengandungi kerjasama dalam pelbagai aspek, antaranya memperluas infrastruktur kesalinghubungan pintar merangkumi perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi; rangkaian gentian optik yang tersedia untuk keperluan masa hadapan; serta pemasangan smart pole bagi memastikan liputan rangkaian yang menyeluruh di seluruh negeri.

Kerjasama ini turut meliputi usaha memperkukuh keselamatan awam serta pengurusan trafik dan pelancongan berasaskan teknologi pintar melalui Network Operation & Command Centre bagi memastikan pelaksanaan secara bersepadu.

Pelaksanaan kerjasama ini dijangka memberikan impak positif kepada rakyat melalui peluasan akses Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, penyampaian perkhidmatan digital
yang lebih cekap, pengurusan trafik yang lebih lancar dan pengurangan risiko bencana.

MERANGSANG PEMBANGUNAN EKONOMI

Usaha ini turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS), sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan.

Pada masa yang sama, kerjasama ini membekalkan asas infrastruktur bandar pintar yang diperlukan untuk transformasi digital jangka panjang negeri, seterusnya mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai negeri pintar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

MCMC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam menjayakan agenda digital negara, memastikan pembangunan bandar pintar yang
inklusif, mampan dan memberikan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian
Komunikasi, V. Mano dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan. -JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *