MAHASISWA BENTENG HADAPI NORMALISASI SALAH LAKU, RASUAH

Puncak Alam, 10 Disember – Peranan mahasiswa sebagai benteng utama menolak normalisasi salah laku dan rasuah perlu diberi perhatian, khususnya dalam usaha membina masa depan negara yang berintegriti tinggi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, golongan mahasiswa perlu tampil lebih kritis dalam menilai isu semasa, tidak mudah terpengaruh dengan persepsi serta berani memperbetulkan pandangan masyarakat demi menyokong aspirasi mewujudkan Malaysia bebas rasuah.

“Sikap berani menegur, menolak salah guna kuasa dan mempertahankan nilai integriti harus dibudayakan sejak di bangku universiti lagi.

“Mahasiswa bukan sekadar penuntut ilmu, sebaliknya pemikir strategik dan ejen perubahan yang menjadi tunjang kepada pembentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program SPRM–UiTM INSPIRA 2025: Hari Integriti & Kepimpinan, yang turut menampilkan sesi Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Azam berkata, mahasiswa perlu bersikap kreatif, celik teknologi serta berani memacu perubahan agar amalan yang salah tidak diterima sebagai kebiasaan dalam masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata pihaknya berbangga dan bersyukur atas pelantikan Tan Sri Azam sebagai Profesor Adjung UiTM, yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar dalam memperkukuh agenda integriti dan antirasuah di universiti.

“UiTM turut bersama masyarakat menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa, selari dengan sokongan kepada usaha kerajaan mencapai sasaran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada kedudukan 25 teratas dunia menjelang 2033,” katanya.

Beliau berkata, UiTM akan terus komited membentuk generasi profesional yang beretika dan bebas rasuah, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju melahirkan graduan berintegriti.

Dalam majlis itu, turut diadakan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta sesi menandatangani IBR oleh Pengarah SPRM Selangor, P/TPj Mohd Azwan Ramli dan Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof. Dr. Norli Ali, disaksikan oleh Tan Sri Azam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff; Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor; Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) UiTM, Prof. Dr. Zuraidah Sanusi serta barisan pengurusan eksekutif dan pengurusan kanan universiti dan pegawai-pegawai SPRM.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *