






Oleh: Sholina Osman
14 DIS. 2025
Ilmu adalah asas penting bagi kemajuan dan kemakmuran negeri. Masyarakat berilmu bukan hanya tahu, tetapi memahami tanggungjawab sosial.
Terus semarakkanlah budaya berfikir, berdialog dan berkongsi ilmu, agar Perlis terus berkembang sebagai sebuah negeri ilmu yang melahirkan umat beradab dan berwawasan.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs, yang berlangsung di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi, Kangar baru-baru ini.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
PENYERAHAN AGIHAN ZAKAT
Sempena program berkenaan, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih, yang terdiri daripada 15 orang anak kariah Guar Syed Alwi dan 15 orang lagi anak kariah Padang Behor.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan MAIPs pada majlis tersebut ialah RM21,000.
Secara keseluruhan, Program Hijrah Minda berperanan sebagai platform utama MAIPs dalam membina masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak mulia, malah mampu memberi sumbangan positif kepada pembangunan negeri Perlis melalui perubahan pemikiran dan gaya hidup yang lebih baik. – JM
