Pengurus syarikat swasta rugi lebih RM2 juta diperdaya “phone scam”

Oleh: Sholina Osman
16 DIS. 2025

Lagi kes mangsa “phone scam” yang melibatkan kerugian berjumlah RM2,544,671.00

Seorang Pengurus sebuah syarikat swasta dari Georgetown, Pulau Pinang terpaksa “berputih mata” kerana terpedaya dengan “phone scam” kononnya dia terlibat dalam penggubahan wang haram.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 54 tahun itu tampil di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut membuat laporan setelah terpedaya dalam kes penipuan “phone scam” sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM2,544,671.00.

BERADA DI KEDIAMANNYA

“Ia bermula pada 21 Februari 2025 di mana semasa itu mangsa berada di kediamannya di Georgetown,” kata Azizee dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata pada tarikh tersebut, mangsa mendapat panggilan telefon dari suspek yang mendakwa dirinya sebagai Pegawai Cyber Security.

Suspek memaklumkan bahawa terdapat 16 aduan terhadap talian telefon mangsa di mana dikatakan terlibat dalam kes berkaitan tipu pelaburan dan penyebaran maklumat palsu.

DIMINTA OLEH SUSPEK

Mangsa menafikan dakwaan itu tetapi telah diminta oleh suspek untuk membuat laporan polis secara atas talian.

Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ di Bukit Aman.

‘Pegawai polis’ tersebut telah menyoal siasat mangsa dan mendakwa mangsa juga terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan aktiviti pengedaran dadah.

MANGSA JUGA DIUGUT

Dalam masa yang sama, mangsa juga diugut oleh ‘pegawai polis’ tersebut bahawa terdapat waran tangkap telah dikeluarkan ke atas mangsa.

Berikutan itu, mangsa diminta untuk mengikuti semua arahan yang diberikan bagi tujuan siasatan.

Mangsa telah diminta oleh suspek untuk membuka tiga akaun bank yang berbeza, meletakkan kad ATM bersama nombor pin dalam satu sampul surat dan diletakkan di bawah pasu di hadapan rumahnya.

BEEJANJI AKAN MEMULANGKAN

Suspek berjanji akan memulangkan wang dan kad ATM setelah selesai menjalankan siasatan.

Pada 4 Mac 2025 sehingga 22 September 2025 mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 12 kali transaksi ke dalam tiga akaun bank yang baharu dibuka mangsa.

Suspek sekali lagi meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan pada 13 Disember 2025.

Mangsa yang telah kehabisan wang itu akhirnya menceritakan perkara itu kepada adiknya yang mengesyaki kemungkinan mangsa telah ditipu oleh “phone scam”.

Polis menyiasat kes ini dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, dengan sebatan dan juga denda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *