Terus sokong penuh agenda MADANI, pelaksanaan dasar reformasi demi negara – Dr. Zaliha

Oleh: Sholina Osman
16 DIS. 2025

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berjanji akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat sekalipun tidak lagi berada dalam barisan kabinet baharu.

Ahli Parlimen Sekijang ini turut mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

Beliau yakin Hannah akan dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

SELAMAT MAJU JAYA

“Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI yang baharu dilantik,” kata beliau dalam kenyataan media petang ini.

Dr Zaliha juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam Kerajaan MADANI.

“Saya percaya setiap keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri dibuat dengan penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan,” kata beliau.

SELURUH WARGA KERJA

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh saya menerajui portfolio ini.

Dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan juga telah berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *