





Oleh: Sholina Osman
17 DIS. 2025
Penubuhan Skuad Bencana MADANI adalah sebagai usaha untuk memperkukuh bantuan kebajikan dan sokongan kecemasan kepada rakyat terkesan akibat bencana.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Skuad Bencana MADANI ini juga bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi menjadi lambang yang kukuh kepada keprihatinan yang tulus, serta menjadi mercu tanda kesediaan kita dalam mendepani apa jua cabaran.
“Semoga penubuhan Skuad Bencana MADANI ini dapat memberi sokongan menyeluruh kepada mangsa-mangsa bencana,” kata Dr Wan Azizah dalam perkongsian di FB.
Terdahulu Wan Azizah Wan Ismail hadir merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Bencana MADANI di Laman Tun Razak, Kuala Lumpur.
MENYAMPAIKAN WATIKAH PENUBUHAN
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini juga turut menyampaikan Watikah
Penubuhan Skuad Bencana MADANI sebelum menyaksikan simulasi penyelamatan mangsa banjir skuad itu.
Turut hadir Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri; Anaz Fazreen Badrul Hisham, Ketua Polis Balai Polis Salak Selatan; serta Asyqoh Yusof, Pengurus Cawangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kawasan Bandar Tun Razak.
Sementara itu, Azman berkata penubuhan Skuad Bencana MADANI bertujuan melengkapi peranan pasukan dan agensi bencana sedia ada dalam membantu mangsa, khususnya dari aspek sokongan komuniti dan logistik.
MEMBANTU MANGSA BENCANA
“Skuad ini bertujuan membantu mangsa bencana, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara, untuk melengkapi skuad ataupun pasukan bencana yang lain,” katanya.
Beliau berkata skuad berkenaan dilancarkan dengan kekuatan 50 anggota, akan menjalani latihan secara berperingkat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kesiapsiagaan dalam operasi menyelamat.
Azman berkata setakat ini skuad berkenaan hanya ditubuhkan di Parlimen Bandar Tun Razak dan dilengkapi dengan aset serta peralatan asas termasuk bot bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir dan bencana lain.
Beliau berkata pemilihan ahli skuad melibatkan golongan belia tempatan yang berminat dan sihat tulbuh badan, selain setiap penugasan akan diselaraskan bersama pihak berkuasa berkaitan seperti APM, polis dan bomba bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan operasi. – JM
