Kasih sayang teras perkukuh institusi keluarga harmoni – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2025

Kasih sayang merupakan teras penting dalam membina dan memperkukuh institusi keluarga yang harmoni, sekali gus menjadi benteng utama dalam mendepani pelbagai cabaran sosial masa kini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli di sekitar kariah Sungai Batu Pahat baru-baru ini.

Baginda bertitah, institusi keluarga yang dibina atas asas kasih sayang, saling memahami dan keprihatinan mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera, berakhlak serta berdaya tahan, khususnya dalam kalangan golongan yang berdepan dengan kesempitan hidup.

DITERJEMAH MELALUI
PERHATIAN

“Kasih sayang bukan sekadar ungkapan, tetapi perlu diterjemahkan melalui perhatian, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap ahli keluarga, terutamanya anak-anak dan golongan yang memerlukan,” titah Tuanku Raja Muda.

Program kayuhan tersebut bermula di Masjid Ar-Raudhah dan diteruskan dengan aktiviti ziarah serta penyampaian sumbangan kepada asnaf terpilih.

Keberangkatan Baginda jelas mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf dan rentan.

NILAI KASIH SAYANG

Program pada kali ini merupakan anjuran bersama antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Dr’ Love, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyemai nilai kasih sayang, empati dan sokongan moral dalam komuniti setempat.

Turut mengiringi Baginda ialah Senator Azahar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, bersama Pengasas Organisasi Dr’ Love, Mohd Safwan Hassan.

Para penerima sumbangan edisi tersebut ialah Muhammad Safar Majid 67 dari Kanounh Pokok Jawi, Azhar Azmi 50 dari Kampung Hutan Ketiau dan Mahmud Mohamad Salleh, 40 juga dari kampung sama.

Dalam pada itu, Mohd Nazim Mohd Noor merakamkan penghargaan atas keberangkatan dan keprihatinan Raja Muda Perlis yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap inisiatif kebajikan MAIPs, khususnya melalui program Kayuhan MAIPs Peduli yang menjadi medium mendekati rakyat secara langsung.

Program seumpama ini diharapkan dapat terus memupuk semangat kebersamaan, memperkukuh jaringan sokongan sosial serta menyuburkan nilai kasih sayang sebagai asas pembinaan keluarga dan masyarakat yang sejahtera di Negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *