Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 berkuat kuasa 23 hingga 27 Disember – Armizan

Oleh: Sholina Osman
20 DIS. 2025

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 berkuat kuasa dari 23 hingga 27 Disember 2025.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan ialah selama 5 hari, iaitu 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan.

“Kementerian telah mengenal
pasti 14 jenis barangan yang akan dikawal di bawah SHMMP,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Armizan berkata kementerian telah mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah skim ini termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah (China), tomato, cili merah.

LADA BENGGALA HIJAU

Selain itu kata beliau lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import (China), kepak ayam, ayam tua hidup (Sarawak sahaja) manakala babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) hanya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

“Pelaksanaan SHMMP adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dengan mengambil kira pertimbangan agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata SHMMP dikuatkuasakan melalui Akta
Kawalan Harga dan Antipencatutan (AHKAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat.

PROGRAM JUALAN RAHMAH

Sementara itu, sebanyak 875 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis lepas (18 Dis) hingga 27 Dis ini.

Armizan berkata orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Krismas di laman sesawang KPDN di http://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah manakala tempahan tarikh janji temu serta lokasi servis kenderaan SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi “SETEL” oleh Petronas.

“Terdapat 115 buah premis bengkel di selurun negara yang terlibat dalam pelaksanaan SIM@PAX sempena Krismas tahun ini,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *