

Oleh: Sholina Osman
21 DIS. 2025
Tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menegaskan ia sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2023.
Bagaimanapun kata beliau ia perlu tertakluk kepada syarat-syarat iaitu antaranya tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.
BERSIFAT TIDAK KEKAL
“Dekorasi/imej/hiasan/ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan,” kata Dr Zulkifli dalam kenyataan media.
Selain itu kata beliau sebarang peralatan berkaitan sembahan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Beliau berkata dekorasi dan hiasan premis tidak melibatkan paparan SPHM dan imej Logo Halal SPHM.
Sehubungan dengan itu, kata beliau bahawa keputusan ini adalah terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan
selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
MENGHORMATI KEPELBAGAIAN BUDAYA
“Sifat hormat menghormati kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia adalah sebahagian daripada identiti masyarakat majmuk di negara ini,”‘kata beliau.
Beliau berkata pihak industri digalakkan untuk terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum.
Manakala pihaknhotel dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa pensijilan halal yang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat dari semasa ke semasa, demi memastikan pematuhan berterusan kepada piawaian halal negara.
Jelas Zulkifli kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri bersama JAKIM serta pemain industri adalah amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, serta sentiasa mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, di samping memastikan keharmonian antara agama dan budaya terus diperkukuh,” tambah beliau. – JM
