Kerajaan MADANI komited terhadap pengurusan fisikal yang bertanggungjawab

23 Disember 2025

(INFO RINGKAS)

Sebagai sebuah negara membangun dengan asas hasil cukai yang masih belum meluas, Malaysia tidak dapat mengelak daripada memanfaatkan hutang untuk memangkin pertumbuhan ekonomi. Namun, kebergantungan ini tidak pernah menjadi lesen untuk pembaziran.

Di bawah Kerajaan MADANI, amalan berhutang diurus dengan penuh amanah, dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan, pertumbuhan yang menyeluruh, dan pembangunan yang disusun mengikut keperluan sebenar rakyat.

Justera itu, era perbelanjaan boros dan hutang tanpa kawalan kini tinggal dalam lipatan sejarah. Pinjaman baharu telah dikurangkan secara berperingkat saban tahun, sambil setiap sen hutang diteliti agar benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan rakyat. Sebahagian besar pinjaman hari ini tertumpu pada baik pulih prasarana kritikal, naik taraf sekolah dan klinik, peluasan capaian elektrik dan air, serta penyediaan rumah untuk penjawat awam dan rakyat paling terkesan. Ia bukan projek mega untuk bermegah-megah, tetapi pembangunan yang mengangkat martabat kehidupan harian rakyat.

Komitmen ini diperkukuh melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) serta kelulusan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 — dua langkah bersejarah yang melakar garis panduan jelas bagi disiplin fiskal negara. Dengan adanya kerangka undang-undang ini, Kerajaan dipertanggungjawabkan secara lebih ketat terhadap perbelanjaannya, sekaligus memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap pengurusan kewangan awam.

Dalam tempoh tiga tahun pentadbiran MADANI, Kerajaan telah merombak semula struktur fiskal negara untuk memastikan kemampanan jangka panjang, sambil terus meningkatkan kesejahteraan rakyat. Langkah-langkah ini membentuk batu asas untuk sebuah ekonomi yang lebih kukuh, adil, dan mampan agar Malaysia dapat melangkah jauh dengan keyakinan dan maruah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *