



Oleh: Sholina Osman
23 DIS. 2025
Orang ramai diharap dapat menjadi mata dan telinga Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis dengan menyalurkan maklumat jika mendapati ada peniaga gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025.
Pengarahnya Rohaida Hassan berkata SHMMP Krismas 2025 ini berkuat kuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember 2025.
Beliau berkata tempoh pelaksanaan adalah selama 5 hari iaitu 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan.
14 JENIS BARANGAN
“Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 14 jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim ini antaranya lobak merah (China); tomato; lada benggala hijau; cili merah; ubi kentang import (China);
bawang merah besar dan bawang kuning besar,” kata beliau pada sidang media selepas Walkabout Pelaksanaan SHMMP
Krismas 2025 di pasar raya C-Mart Arau.
Rohaida berkata kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini,” tegas beliaU
MANA-MANA PENIAGA
Beliau berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencacutan 2011.
“Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negeri Perlis akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar basah pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh skim ini bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan,” kata beliau.
Pada masa yang sama Rohaida mennjelaskan bahawa penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan dengan penuh etika. – JM
