







22 Disember 2025
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim berkata, sewaktu kuasa-kuasa besar dunia membisu bahkan menghukum mereka yang bersuara menentang kezaliman rejim Zionis, Malaysia tampil secara terbuka menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
PMX berkata, apabila flotilla diserang Israel pada 2 Oktober lalu dan menahan sukarelawan kemanusiaan termasuk 23 anak Malaysia, kita bergerak pantas tanpa berlengah. Setiap saat dimanfaatkan untuk merangka strategi, menggerakkan saluran diplomatik dan memastikan keselamatan mereka menjadi keutamaan mutlak negara.
” Alhamdulillah, rundingan tertinggi dengan Turkiye, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat membuahkan hasil. Kesemua wira kemanusiaan kita dibebaskan dengan selamat dan kembali ke tanah air pada 7 Oktober, menjadi berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan ini dengan penuh harapan, ” kata PMX dalam perkongsian di laman sosialnya.
Beliau berkata, keberanian mereka membelah lautan dan keteguhan jiwa mereka memperjuangkan nasib saudara kita di Palestin meskipun diperlakukan secara biadab dalam tahanan Israel, menjadi cerminan kekuatan solidariti Malaysia.
” Semoga keberanian ini terus menyala dan memandu kita untuk berdiri teguh bersama Gaza hingga keadilan tertegak di bumi Palestin yang merdeka, ” jelas PMX lagi.
