






Oleh: Sholina Osman
25 DIS. 2025
Adat Istiadat Melayu Perlis merupakan warisan bangsa yang bukan sahaja melambangkan identiti dan jati diri rakyat negeri ini, malah menjadi penghubung utama antara rakyat dan institusi DiRaja.
Dalam konteks pemerintahan Raja Berperlembagaan, adat yang selaras dengan syariat Islam bukan sekadar simbolik, malah berperanan sebagai wadah menyatukan rakyat, memperkukuh integriti pemerintah serta menyuburkan ketertiban sosial.
Adat yang bertunjang teguh kepada ajaran Islam akan memperkasakan lagi peranan Raja yakni bukan hanya sebagai lambang kedaulatan, bahkan sebagai pemelihara serta pelindung kepada agama dan budaya.
MENYEDIAKAN RUANG PERUNDANGAN
Selain itu, struktur pemerintahan yang diiktiraf oleh Perlembagaan menyediakan ruang perundangan dan pentadbiran yang menyokong kesinambungan peranan Raja dalam konteks moden.
Justeru, penyelarasan di antara ketiga-tiga unsur ini wajar disusun rapi melalui Jawatankuasa Adat Istiafat Melayu MAIPs agar kemuliaan institusi Raja terus kekal terpelihara dan dihormati.
Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Kangar baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Perlis, Ir. Norikhwan Abu Seman, serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
LEBIH 90 PESERTA
Program kayuhan yang bermula di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong ini menghimpunkan lebih 90 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, warga MAIPs dan rakan strategik JKR Perlis.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Farizan Hanapiah@Omar, 51, dari Taman Bunga Ara, Mas’shera Shaffie, 59, dari Kampung Belanga Pudak dan Wan Doyah Salleh, 77, dari Jalan Raja Muda. – JM
