YAYASAN SULTAN IBRAHIM JOHOR SUMBANG 1,000 BAKUL MAKANAN, BAIK PULIH RUMAH MANGSA BANJIR DI BATU PAHAT

Keprihatinan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi agihan 1,000 bakul makanan kepada komuniti nelayan di daerah Tangkak serta penduduk di sekitar daerah Batu Pahat, semalam (23 Disember)

Siri penyerahan dimulakan dengan agihan 400 bakul makanan bagi komuniti nelayan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Encik Mohd Anizam Jamian kepada Timbalan Pengarah LKIM Negeri Johor, Encik Mohd Adib Syazwan Mohamad Hassan di Dewan Tan Sri Haji Ghani bin Othman, Pengkalan Nelayan Parit Karang.

Program diteruskan di Balai Raya Pekan Sri Medan, di mana sebanyak 600 bakul makanan lagi diserahkan oleh Encik Mohd Anizam kepada Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Cik Noor Izza Farha Asimat untuk diagihkan kepada penduduk setempat yang memerlukan.

Selain agihan bantuan makanan, YSIJ turut mengadakan sesi Ziarah Kasih ke kediaman dua penerima bantuan membaik pulih rumah yang terjejas teruk akibat bencana banjir sebelum ini, iaitu Encik Hasan Ahmad di Parit Ulong dan Cik Maani Sirus di Parit Lapis Simis.

Projek baik pulih sepenuhnya yang ditanggung oleh YSIJ dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat itu kini telah siap, sekali gus memberikan keselesaan buat kedua-dua penerima tersebut.

“Sumbangan ini adalah bukti keprihatinan YSIJ yang sentiasa dekat dengan nadi rakyat. Kita berharap bantuan bakul makanan serta inisiatif baik pulih rumah ini dapat meringankan beban serta memberi sinar baharu buat mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa,” kata Encik Mohd Anizam.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *