



Oleh: Sholina Osman
26 DIS. 2025
Seramai 27 orang pensyarah dan pelajar Diploma Ukur Bahan (DUB), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang mengadakan lawatan akademik dan ilmiah ke Revenue Discovery Sdn. Bhd., Shah Alam baru-baru ini.
Pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer PSAS Norhayati Jamil, berkata pihak jabatan mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan kunjungan akademik bagi memberi pendedahan langsung kepada pelajar terhadap dunia sebenar industri digital.
Beliau berkata lawatan tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara PSAS dan pihak industri, malah memperluas horizon pelajar terhadap cabaran sebenar dalam bidang teknologi dan keusahawanan.
“Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat bagaimana teori yang mereka pelajari diaplikasikan dalam dunia industri sebenar,” katanya.
MEMBUKA RUANG KOLABORASI
Menurut Norhayati lawatan itu membuka ruang kolaborasi berterusan antara jabatan kami dan Revenue Discovery dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Lawatan bermula dengan taklimat pertama oleh Pengarah Urusan Syarikat Revenue Discovery Sdn. Bhd., Ts. Syahmi Saadan, yang juga merupakan alumni Politeknik Malaysia (POLYCC).
Beliau menyampaikan perkongsian bertajuk “Cyber Security & Internet Threats”, menekankan kepentingan perlindungan data dan keselamatan maklumat dalam menghadapi ancaman digital masa kini.
Dalam sesi tersebut, Syahmi turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai usahawan muda yang mula menceburi bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.
DATANG SECARA SPONTAN
“Kejayaan dalam dunia keusahawanan tidak datang secara spontan, sebaliknya menuntut ilmu, keberanian mengambil risiko, disiplin diri dan jaringan strategik,” katanya.
“Setiap pelajar harus berani keluar dari zon selesa. Dunia digital membuka banyak peluang — yang penting ialah semangat untuk belajar, mencuba dan terus berkembang,” ujar beliau.
Sesi kedua diteruskan dengan taklimat oleh Pengarah Bukan Eksekutif Syarikat Revenue Discovery Sdn. Bhd, Ts. Prof. Adjung Kamaruzaman Jahidin yang membentangkan topik menarik bertajuk “Penggunaan AI Tools terbaik untuk pelajar Diploma Ukur Bahan”.
DIMANFAATKAN OLEH PELAJAR
Beliau memperkenalkan pelbagai aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar dalam bidang ukur bahan, termasuk penggunaan perisian pintar untuk analisis kos projek, pengurusan data pembinaan serta laporan automasi.
Dalam perkongsian tersebut, beliau turut memberi panduan berharga tentang teknik menghadapi temuduga kerja dengan cemerlang, agar pelajar menjadi calon pilihan utama industri.
Selain sesi perkongsian ilmu, peserta lawatan juga dibawa melawat ke pejabat dan projek IT Revenue Discovery bagi melihat secara langsung operasi serta pengurusan teknologi yang dijalankan oleh syarikat berasaskan inovasi digital ini.
Program berakhir dengan sesi pertukaran cenderamata dan bergambar kenangan antara kedua-dua pihak sebelum delegasi PSAS bertolak pulang. – JM
