𝗝𝗦𝗝𝗑 π—•π—’π—‘π—šπ—žπ—”π—₯ π— π—”π—žπ— π—”π—Ÿ 𝗛𝗔π—₯𝗔𝗠 𝗠𝗗𝗠𝗔 π—•π—˜π—₯π—‘π—œπ—Ÿπ—”π—œ π—₯π— πŸ­.𝟬𝟰 π—•π—œπ—Ÿπ—œπ—’π—‘ π——π—œ π—Ÿπ—˜π— π—•π—”π—› π—žπ—Ÿπ—”π—‘π—š

26 Disember 2025 | Jumaat | Semenyih – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis MDMA di sekitar Lembah Klang hasil risikan berterusan dan tindakan susulan ke atas penahanan enam (6) orang suspek.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh YDH CP Dato’ Hussein Omar Khan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia dalam satu sidang media yang diadakan hari ini bertempat di Balai Polis Semenyih.

Menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil penahanan enam (6) orang suspek pada 16 Disember 2025 yang seterusnya membawa kepada beberapa siri serbuan susulan oleh JSJN Bukit Aman pada 21 Disember 2025 di sekitar Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan, Kajang, Selangor serta Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan tersebut, JSJN berjaya merampas sejumlah besar dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk, selain kokain dan ketamin, bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah. Nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1.04 bilion dan mampu merosakkan seramai 20.7 juta orang.

Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan dalam operasi ini dianggarkan mencecah RM2.6 bilion, termasuk sitaan beberapa buah kenderaan dan jentera yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran dadah.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Disember 2025 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, YDH CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar, Ketua Polis Selangor, YDH SAC Mohd Afzanizam bin Yahaya, Ketua Penolong Pengarah JSJN (Risikan/Perhubungan Antarabangsa); YDH ACP Hairy bin Ramlan, Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Antarabangsa); YDH ACP Sarudin bin Mansor, Penolong Pengarah TIA; YDH ACP Naazron Abdul Yusof, Ketua Polis Daerah Kajang; serta barisan pegawai JSJN Bukit Aman dan warga IPK Selangor.

JSJN menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemprosesan atau melindungi kegiatan dadah. Usaha memerangi dadah akan terus diperkasakan demi melindungi keselamatan masyarakat serta generasi masa kini dan akan datang. Orang ramai turut digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
✦ 𝐉𝐒𝐉𝐍 ππ„π‘π€ππ†πˆ 𝐃𝐀𝐃𝐀𝐇, π‹πˆππƒπ”ππ†πˆ π†π„ππ„π‘π€π’πˆ ✦

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *