




Oleh: Sholina Osman
29 DIS. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan berlaku gangguan telekomunikasi sekitar Kuala Kangsar akibat kebakaran di sebuah menara komunikasi milik Maxis sekitar pukul 6.50 petang pada 27 Disember lalu.
Kenyataan media MCMC memaklumkan menara ini menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak, telah terbakar pada 27 Disember 2025 sekitar pukul 6:50 petang
Akibat daripada kejadian kebakaran tersebut, liputan perkhidmatan
telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile telah terjejas, terutamanya di kawasan sekitar menara termasuk Kampung Kelebor,
Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Liputan perkhidmatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
yang berdekatan dengan lokasi kejadian turut terkesan.
MASIH DALAM SIASATAN
Punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan.
Akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
menjalankan siasatan lanjut.
Dalam masa yang sama, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan
berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku.
Sebagai langkah kecemasan, MCMC telah melaksanakan penyelesaian
sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (Arah Utara), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.
Selain itu, MCMC telah mengarahkan pemilik menara dan penyedia
perkhidmatan untuk memperketatkan penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara, selaras dengan keperluan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna. – JM
