
2 Jan 2026
Komitmen Tegas Kerajaan Demi Keselamatan dan Kemanusiaan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa jenayah pemerdagangan orang merupakan ancaman serius terhadap keselamatan negara serta pencabulan maruah dan hak asasi manusia. Kerajaan mengambil pendirian tegas dengan dasar sifar toleransi terhadap sebarang bentuk eksploitasi manusia.
Usaha membanteras jenayah ini dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu, merangkumi penguatkuasaan undang-undang, perlindungan mangsa serta pendakwaan yang berkesan. Melalui kerjasama antara kementerian, agensi dan rakan strategik di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), pendekatan nasional terus diperkukuh demi menjamin keselamatan dan kemanusiaan.
Kerangka perundangan negara turut diperkasakan melalui Akta 670 dan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (NAPTIP), dengan hala tuju NAPTIP 4.0 (2026–2030) yang memberi fokus kepada pencegahan lebih komprehensif, perlindungan mangsa yang berkesan serta pendakwaan yang tegas.
“Kerajaan mengambil pendirian tegas dengan dasar sifar toleransi terhadap jenayah perdagangan orang kerana ia merupakan jenayah kejam yang mencabul maruah manusia. Usaha pencegahan, perlindungan mangsa serta pendakwaan akan terus diperkukuh.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,
Menteri Dalam Negeri
KDN akan terus komited memastikan keselamatan rakyat terpelihara serta maruah insan sentiasa dilindungi.
