Kebajikan Otai Reformis yang setia berjuang tidak boleh dipinggirkan – PM Anwar

4 Jan 2026

Hari yang amat ceria bagi otai-otai reformis apabila Datok Ser Anwar Ibrahim turut bersama mereka dalam majlis khas di Bukit Beruntung , Rawang, Selangor, petang semalam.

Mereka sangat gembira walaupun sudah menjadi Perdana Menteri , Anwar tidak pernah melupakan sahabat-sahabat lama yang gigih berjuang dan amat berjasa dalam usaha menuntut reformasi dan menegakkan keadilan .

” Petang tadi ke Bukit Beruntung ketemu sahabat lama dan teman-teman seperjuangan Otai Reformis yang sekian lama menjadi tulang belakang dalam perjuangan panjang menuntut reformasi dan menegakkan keadilan, ” kata PMX dalam perkongsian di laman sosial petang semalam.

PMX berkata, perjuangan ini bukan untuk mengangkat mana-mana individu. Perdana Menteri dan menteri silih berganti, tetapi apa yang kita tuntut adalah perubahan sistem yang telah usang dan bobrok, yang membolehkan segelintir pimpinan lama mengaut hasil kekayaan untuk diri dan keluarga, tatkala rakyat terus menderita.

Jelas beliau lagi, namun kerana ketekalan saudara-saudara Otai Reformis di atas landasan perjuangan ini, meskipun diuji dengan kezaliman pemerintah terdahulu, hari ini kita diberi mandat untuk mentadbir negara dan melaksanakan reformasi yang diimpikan.

MEMULAKAN LANGKAH REFORMASI

Tegas PMX lagi sejak diberi amanah ini, kerajaan MADANI telah memulakan langkah reformasi penting, termasuk menghentikan amalan rundingan terus, membetulkan tatakelola dan memastikan perolehan kewangan yang telus dan bertanggungjawab.

Jelas Anwar lagi, usaha menghentikan ketirisan, salah guna kuasa serta memerangi rasuah yang sistemik dan berakar menjadi tunjang utama dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.

” Benar, reformasi ini masih belum sempurna. Memperbaiki sistem yang telah rosak sejak puluhan tahun menuntut masa, kesabaran dan kebijaksanaan, termasuk dalam berunding dengan pimpinan parti lain.

” Namun saya akan terus menggunakan mandat dan amanah yang diberikan untuk memastikan reformasi ini menjadi kenyataan, ” ujar beliau lagi.

Menurut PMX lagi, dalam memikul amanah ini, kebajikan Otai Reformis yang setia berjuang sejak awal tidak boleh dipinggirkan. Insya-Allah pimpinan-pimpinan KEADILAN akan memastikan kebajikan kalian menjadi keutamaan.

” Setinggi-tinggi penghargaan saya zahirkan kepada teman-teman Otai Reformis yang kekal setia dalam khittah perjuangan. Tanpa keteguhan dan pengorbanan saudara-saudara, kita tidak mungkin sampai ke detik ini.” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *