Reformasi atau perjuangan bukan untuk angkat mana-mana individu – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan reformasi atau perjuangan ini bukan untuk mengangkat mana-mana individu.

Beliau berkata ini kerana Perdana Menteri dan menteri silih berganti.

“Apa yang kita tuntut adalah perubahan sistem yang telah usang dan bobrok, yang membolehkan segelintir pimpinan lama mengaut hasil kekayaan untuk diri dan keluarga, tatkala rakyat terus menderita,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Terdahulu Anwar berucap pada Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung, Rawang, petang semalam.

BERTEMU SAHABAT LAMA

Beliau berpeluang bertemu sahabat lama dan teman-teman seperjuangan Otai Reformis yang sekian lama menjadi tulang belakang dalam perjuangan panjang menuntut reformasi dan menegakkan keadilan.

“Mesmipin diuji dengan kezaliman pemerintah terdahulu, hari ini kita diberi mandat untuk mentadbir negara dan melaksanakan reformasi yang diimpikan,” kata Anwar.

“Sejak diberi amanah ini, kita telah memulakan langkah reformasi penting, termasuk menghentikan amalan rundingan terus, membetulkan tatakelola dan memastikan perolehan kewangan yang telus dan bertanggungjawab,” tambah beliau.

Jelas Anwar usaha menghentikan ketirisan, salah guna kuasa serta memerangi rasuah yang sistemik dan berakar menjadi tunjang utama dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.

MASIH BELUM SEMPURNA

“Benar, reformasi ini masih belum sempurna. Memperbaiki sistem yang telah rosak sejak puluhan tahun menuntut masa, kesabaran dan kebijaksanaan, termasuk dalam berunding dengan pimpinan parti lain,” kata beliau.

Namun beliau akan terus menggunakan mandat dan amanah yang diberikan untuk memastikan reformasi ini menjadi kenyataan.

“Dalam memikul amanah ini, kebajikan Otai Reformis yang setia berjuang sejak awal tidak boleh dipinggirkan. Insya-Allah pimpinan-pimpinan KEADILAN akan memastikan kebajikan kalian menjadi keutamaan,” ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *