



Ipoh, 4 Januari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyantuni seramai 45 murid asnaf dan yatim piatu daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent dalam Program TAJ International College (TIC) Prihatin dan Community Education Network 2026 yang berlangsung di Dewan Utama TIC, di sini, petang semalam.
Kehadiran Tan Sri Ayob Khan ke program berkenaan adalah mewakili Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin yang juga merupakan alumni sekolah tersebut.
Program yang dirasmikan oleh Tan Sri Ayob Khan itu merupakan satu inisiatif kebajikan dan pendidikan yang bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Ketibaan beliau sekitar jam 2.00 petang disambut oleh Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam Nordin bersama Pengerusi Eksekutif TIC, Puan Tina Dato’ Sri Hj. Tajuddin.
Dalam majlis tersebut, seramai 45 murid daripada keseluruhan 100 penerima sumbangan telah menerima kelengkapan asas persekolahan merangkumi pakaian seragam, beg sekolah, kasut, alat tulis serta keperluan asas pendidikan yang lain.
Sumbangan yang disalurkan itu diharap dapat menyuntik sinar harapan dan meningkatkan semangat murid-murid asnaf serta yatim piatu untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin, selesa dan bersemangat.
Terdahulu, Tan Sri Ayob Khan turut meluangkan masa melawat reruai pameran dan beramah mesra dengan para pengusaha jualan amal serta pengunjung program.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Jualan Back To School, pertandingan bayi comel, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai pengisian yang bersifat kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Jurugambar: PDRM RMPTV
