



Oleh: Sholina Osman
5 JAN. 2025
Perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang yang menjejaskan hampir 100 penduduk berikutan cuaca buruk yang melanda baru-baru ini telah dipulihkan sepenuhnya pada 1 Januari 2026.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan berdasarkan faktor keselamatan dan perkhidmatan feri yang terhad pada musim Monsun Timur Laut (MTL), pihak CelcomDigi hanya berjaya tiba di Pulau Tioman pada 31 Disember 2025 untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian peralatan yang rosak.
MCMC telah menerima aduan daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain; serta penduduk kampung berkenaan gangguan perkhidmatan selular 2G dan 4G di kampung berkenaan.
MENGALAMI KEROSAKAN TERUK
Stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia oleh pihak CelcomDigi menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) telah mengalami kerosakan teruk dan menyebabkan perkhidmatan selular CelcomDigi, Maxis dan U Mobile di kampung tersebut terputus sejak 17 Disember 2025.
Semakan MCMC mendapati, perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi beroperasi seperti biasa.
Secara keseluruhan, terdapat sembilan stesen pemancar di Pulau Tioman dan semua pemancar ini beroperasi dengan baik kecuali di Kampung Salang.
MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memberi bantuan kepada penyedia perkhidmatan dari aspek pengangkutan dan sokongan logistik khususnya pada musim Monsun
Timur Laut. – JM
