


Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
6 JAN. 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengadakan sebanyak 91 siri kayuhan berbasikal MAIPs Peduli bagi menyalurkan bantuan agihan zakat berjumlah lebih RM2.7 juta sepanjang tahun 2025 yang lalu.
Kayuhan ini memberi manfaat kepada seramai 4,375 orang asnaf daripada kalangan golongan kurang berkemampuan di seluruh Negeri Perlis.
Kesemua sesi kayuhan ini diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs yang berkenan berangkat menyantuni serta menyampaikan bantuan secara langsung kepada para penerima terpilih.
Ia dilaksanakan melibatkan kunjungan ke masjid-masjid, kampung-kampung, sekolah-sekolah di hampir keseluruhan pelosok negeri Perlis.
KEPERLUAN GOLONGAN ASNAF
Inisiatif ini bertujuan mendekati dan menyelami keperluan golongan asnaf secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Program ini turut mendapat kerjasama padu daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat Negeri serta Persekutuan, dengan penglibatan aktif ketua-ketua jabatan dan kakitangan masing-masing bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaannya.
Sebagai rekod, jumlah keseluruhan kayuhan yang telah dilaksanakan sejak aktiviti ini diperkenalkan pada tahun 2013 kini mencecah 1,069 kali.
49, 800 ORANG PENERIMA
Usaha berterusan ini telah memberi manfaat kepada seramai 49,800 orang penerima sehingga ke hari ini, dengan jumlah keseluruhan agihan MAIPs mencecah nilai RM32,074,600.
Pencapaian ini sekali gus mencerminkan iltizam berterusan MAIPs dalam memperkasa kebajikan golongan asnaf di Negeri Perlis.
Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan media MAIPs, sempena Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 yang diadakan di Bangunan Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Kangar baru-baru ini.
Berkenan berangkat ialah Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama anakanda kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs.
RAKAN-RAKAN STRATEGIK
Baginda juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam program ini, khususnya kepada seluruh warga kerja MAIPs serta rakan-rakan strategik lain baik agensi atau jabatan maupun individu perseorangan yang telah bertungkus lumus menjayakan gerak usaha ini sepanjang tahun 2025 dan memastikan kelangsungannya.
Baginda turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan Kayuhan MAIPs Peduli yang akan diteruskan pada tahun 2026 dapat diperkasakan lagi menerusi pendekatan yang lebih berimpak, holistik dan efisien, selari dengan komitmen berterusan membantu dan meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf di Negeri Perlis untuk cuba terus keluar dari kepompong kemiskinan. – JM
