




Oleh: Sholina Osman
6 JAN. 2026
Malaysia berhasrat meneroka peluang kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa bidang pertanian berimpak tinggi, antaranya pengeluaran jagung bijirin (grain corn) bagi makanan ternakan.
Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Datuk Seri Isham Ishak berkata selain itu juga pemerkasaan mekanisasi dan
automasi pertanian melalui penerapan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing sektor agromakanan negara, selain pembangunan tanaman kubis bulat di kawasan tanah rendah.
Beliau menyatakan hasrat itu ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar AS ke Malaysia David H. Gamble di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.
MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik sektor agromakanan, selaras dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan keterjaminan bekalan makanan serta memperkukuh rantaian nilai pertanian negara.
Turut hadir dalam sesi tersebut
ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Seri Norazman Ayob, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi, serta pegawai-pegawai kanan KPKM.
Kenyataan media KPKM memaklumkan kunjungan hormat tersebut merupakan kelangsungan kerjasama dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS, khususnya dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, selaras dengan hubungan diplomatik erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai usaha-usaha peningkatan kerjasama perdagangan pertanian bertujuan untuk memperkukuhkan prestasi
perdagangan serta meningkatkan keyakinan bersama terhadap sistem kawal selia makanan dan pertanian kedua-dua negara.
PELABURAN DARI AS
Isham turut mengalu-alukan pelaburan dari AS ke Malaysia dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk pembangunan teknologi Internet of Things (IoT) serta penambahbaikan varieti benih.
Sehubungan itu, KPKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Pertanian (DOA) dijangka mengadakan lawatan kerja ke
Amerika Syarikat dalam masa terdekat bagi tujuan penandaarasan sistem kawalan kesihatan makanan dan pertanian negara tersebut, selaras dengan komitmen yang digariskan di bawah ART.
Sehingga September 2025, jumlah perdagangan pertanian antara Malaysia dan Amerika Syarikat mencecah kira-kira RM14.68 bilion, merangkumi eksport pelbagai produk pertanian utama Malaysia ke AS seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk pertanian terproses.
Manakala, import dari AS pula melibatkan pelbagai produk makanan. – JM
