



RAWANG, 7 Januari 2026 β Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri hari ini menyempurnakan penyerahan sijil kelahiran dan MyKid kepada adik Ahmad Yusuf AlFarizqi, berusia 1 tahun 4 bulan, selepas proses pendaftaran kelahiran lewat berjaya diselesaikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bersama dengan Dato’ Badrul Hisham Alias, Ketua Pengarah JPN.
Pendaftaran kelahiran tersebut dapat dilaksanakan sebaik sahaja dokumen pengenalan diri ibu diperoleh, susulan kejayaan penyelesaian kes pendaftaran lewat yang melibatkan keluarganya sebelum ini. Kes ini turut disokong dengan pengemukaan laporan kelahiran hospital, rekod kehamilan serta rekod imunisasi kanak-kanak. YB Menteri Dalam Negeri menegaskan komitmen berterusan KDN dan JPN bagi membantu masyarakat yang berdepan isu dokumentasi agar tidak terpinggir daripada akses pendidikan, kesihatan, pekerjaan serta hak sebagai warganegara.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan masyarakat agar lebih cakna untuk mendaftarkan peristiwa penting seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian dalam tempoh yang ditetapkan, memandangkan kerajaan telah menyediakan 211 pejabat JPN di seluruh negara serta perkhidmatan Pasukan MEKAR bagi memudahkan urusan rakyat. Pendaftaran dokumen pengenalan diri yang sah ialah asas kepada masa depan yang terjamin dan kelangsungan hak generasi akan datang.
