


Oleh: Sholina Osman
8 JAN. 2026
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (“No Further Action”) terhadap 47 kes pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kenyataan media AGC memaklumkan keputusan ini sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” kata kenyataan itu lagi.
MELEPASKAN TANPA MEMBEBASKAN
Jabatan ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal – DNAA) Dr. Ahmad Zahid.
Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Dr. Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, Jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
SKOP DAN FOKUS
Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes.
Hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa. – JM
