PMX hargai ucapan tahniah terhadap Malaysia jadi pemudah cara perdamaian Kemboja-Thailand

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ucapan tahniah yang dizahirkan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand.

Beliau berkata di samping itu juga dengan pengiktirafan terhadap kejayaan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian semasa bersama Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).

Beliau berkata mesyuarat ini bagi menetapkan hala tuju kerjasama strategik Malaysia-Republik Türkiye demi manfaat bersama.

PENGUKUHAN KERJASAMA STRATEGIK

“Antara perkara utama yang disentuh dalam mesyuarat ini ialah pengukuhan kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang keutamaan, meliputi perdagangan dan pelaburan, industri halal, kewangan Islam, semikonduktor, sistem pengangkutan pintar (ITS), pertahanan dan keselamatan, tenaga dan alam sekitar, unsur nadir bumi (REE), pelancongan serta pendidikan,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Anwar menjelaskan mesyuarat itu turut meneliti usaha memperluas dan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Türkiye dalam kerangka serantau serta pelbagai hala.

Beliau berkata ia khususnya melalui ASEAN, D-8 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Kami juga bertukar pandangan mengenai situasi semasa di Gaza serta perkembangan keselamatan dan kemanusiaan di Timur Tengah,” kata beliau.

Perdana Menteri kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Türkiye atas jemputan Erdogan yang bermula Selasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *