






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
9 JAN. 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sebanyak RM8,439,900 untuk ‘Bantuan Persekolahan 2026’, untuk dimanfaatkan oleh 12,057 pelajar asnaf di seluruh negeri Perlis tahun ini.
Kenyataan media MAIPs memaklumkan simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Kangar baru-baru ini.
Baginda diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Kata Mohd Nazim bantuan persekolahan berjumlah RM8.4 juta ini adalah manifestasi keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kebajikan pendidikan golongan asnaf, dalam usaha membantu meringankan bebanan kos persekolahan yang semakin meningkat’.
PELAJAR SEKOLAH MENENGAH
Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM3,207,400 diperuntukkan kepada pelajar sekolah menengah, manakala RM5,232,500 disalurkan kepada pelajar sekolah rendah. Setiap penerima menerima bantuan berjumlah RM700 seorang.
Secara terperinci, setiap pelajar akan memperolehi RM300 bagi sumbangan pakaian, alat tulis, dan kelengkapan sekolah, RM300 untuk aktiviti kecemerlangan pendidikan, dan pembangunan sahsiah, serta RM100 sebagai sumbangan tunai.
Pendekatan agihan berstruktur ini bertujuan memastikan keperluan asas persekolahan, pembangunan potensi akademik serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf dapat diperkukuh secara menyeluruh.
PELAJAR SEKOLAH RENDAH
Berdasarkan kadar agihan tersebut, seramai 4,582 orang pelajar sekolah menengah dan 7,475 orang pelajar sekolah rendah telah menerima manfaat ini dan menjadikan keseluruhan 12,057 orang pelajar asnaf menerima bantuan persekolahan MAIPs bagi tahun 2026 ini.
MAIPs optimis bahawa usaha ini akan terus memperkukuh agenda pendidikan di Negeri Perlis, sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak asnaf terus terbela serta tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan.
Bantuan ini disalurkan hasil kerjasama strategik antara MAIPs dan Jabatan Pendidikan Negeri, melibatkan pengurusan sekolah-sekolah di seluruh Perlis yang telah mengemukakan cadangan penerima bantuan diperolehi yang disahkan dalam sistem maklumat dalam talian bagi memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara telus, berfokus dan menepati golongan sasar.
Dalam usaha memperkemaskan pelaksanaan agihan, MAIPs turut melantik Guru-guru Muraqib Amil bagi membantu mengenal pasti pelajar asnaf yang layak menerima bantuan, sekali gus memastikan kebajikan golongan sasar dapat disantuni secara lebih berkesan dan menyeluruh. – JM
