Zon Maritim Kuala Perlis tumpaskan cubaan seludup 20 tong petrol ke negara jiran

Oleh: Sholina Osman
9 JAN. 2026

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 20 tong minyak petrol bersubsidi ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom memaklumkan ia hasil satu operasi di kedudukan 0.52 batu nautika dari barat daya Kuala Perlis, Perlis, malam tadi.

Beliau berkata bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dalam OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah dalam keadaan mencurigakan.

SAMPAN BERKENAAN DITINGGALKAN

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati sampan berkenaan ditinggalkan tanpa kehadiran pemilik.

“Di dalam sampan itu ditemui dalam anggaran lebih kurang 600 liter minyak petrol iaitu 20 tong minyak yang dianggarkan 30 liter setiap tong,” kata beliau dalam kenyataan media.

Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau membawa keluar tanpa permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

RAMPASAN YANG DIANGGARKAN

Kesemua hasil rampasan yang dianggarkan berjumlah hampir RM25,000.00 itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tambah Nak Rong, kes ini merupakan rampasan pertama bagi tahun ini dan kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Kuala Perlis, dalam membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi yang boleh menjejaskan hasil negara.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *