





Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JAN. 2026
Kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung pada dasar dan perutukan semata, tetapi juga pada kerjasama erat antara Kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan mantap antara semua pihak ini penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” kata beliau dalam perkongsian di FB hari ini.
BERKUNJUNG KE SEKOLAH
Terdahulu beliau bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi hari ini.
Beliau berkata ia bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP), yang merupakan inisiatif penting untuk meringankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.
Dalam lawatan ini, Anwar berpeluang bertemu dan menyantuni anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan.
MENGGENDONG HARAPAN MENGGUNUNG
“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa, tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara,” kata beliau.
Beliau berkata sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri.
Justeru itu kata Perdana Menteri, pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara. – JM
