
Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026
Jabatan Penerangan Negeri Perlis memohon supaya semua pembekal dan orang ramai lebih berhati-hati terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab (scammer).
Ia sebagai peringatan kepada orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap kegiatan penipuan oleh individu atau syarikat yang menyalahgunakan nama jabatan ini bagi tujuan perolehan.
“Untuk makluman, terdapat kes melibatkan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Penerangan Negeri Perlis bagi memperdaya orang awam dan para pembekal,” kata Jabatan Penerangan Negeri Perlis dalam perkongsian di FB hari ini.
Antara modus operandi yang dikenal pasti ialah penggunaan pesanan perolehan dan dokumen palsu, yang memaparkan nama, jawatan serta nombor telefon kononnya milik pegawai Jabatan Penerangan Negeri Perlis bagi meyakinkan mangsa.
MENGGUNAKAN LOGO JABATAN
Dokumen tersebut turut menggunakan logo Jabatan Penerangan Negeri Perlis tanpa kebenaran.
Dimaklumkan bahawa mana-mana dokumen L/O (Letter of Order) yang diterima oleh pembekal dan menggunakan logo Jabatan Penerangan Negeri Perlis adalah palsu dan dipercayai melibatkan kegiatan penipuan.
Orang awam dan pembekal dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, mesej atau emel yang diterima dengan menghubungi pejabat serta membuat semakan melalui saluran rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perlis.
Kerjasama dan kewaspadaan semua pihak amat dihargai bagi mengelakkan sebarang kerugian serta penyalahgunaan nama jabatan ini. – JM
