






Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026
Perlis boleh mencontohi Singapura dalam banyak perkara antaranya tata kelola, ekonomi, dan pembangunan modal insan dengan mengadaptasi strategi seperti program pertukaran teknologi digital, kerjasama TVET, lawatan kerja strategik, dan menyertai kursus jangka pendek dalam kepimpinan, tadbir urus, serta kelestarian untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan taraf hidup umatnya, bagi menyesuaikan model Singapura mengikut keperluan tempatan di negeri ini.
Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Setiausaha Pertama (Politik) Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, Muhammad Amin Abdul Rahim yang mengiringi Baginda dalam program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Paya, dekat Kangar baru-baru ini.
Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
MENGUKUHKAN LAGI HUBUNGAN
Sementara itu, Muhammad Amin memberi komitmen untuk cuba mengukuhkan lagi hubungan erat antara Singapura dengan Perlis melalui Suruhanjaya Singapura di negara ini, terutamanya dalam bidang pendidikan, hubungan serantau, dan budaya.
Beliau juga memuji Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang dianggap “berjiwa rakyat” kerana amat kerap sekali turun padang berinteraksi secara langsung dengan rakyat Baginda melalui aktiviti sosial seperti “Kayuhan MAIPs Peduli”, yang menunjukkan teladan kepimpinan yang baik dan berkesan.
Dalam program kayuhan edisi kali ini iaitu yang keempat bagi tahun 2026, Tuanku Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih iaitu Zarina Zakarian, 55, dari Kampung Paya Senduk, Kamal Sudin, 68? dan Salmah Mat, 55, masing-masing dari Paya Kampung Besar.
Baginda dan anakanda turut meluangkan masa singgah menyantuni penduduk setempat dan melawat padang bola sepak Sun Suria, ‘People’s Arena – Home Of The Swamp Things’ yang merupakan tempat latihan pasukan Suria Paya United SC yang pernah bersaing dalam Liga Super Negeri Perlis. – JM
