KERAJAAN SARAWAK RANCANG PELAN MAMPAN, TUBUH JAWATANKUASA KHAS BANJIR

BINTULU, 13 Jan – Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah jawatankuasa di peringkat negeri bagi merangka pelan jangka panjang secara menyeluruh dalam menangani isu banjir yang kerap melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan setiap cadangan dan langkah mitigasi banjir dilaksanakan secara terancang, berasaskan kajian teknikal serta melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Ada pelbagai cadangan termasuk pendalaman sungai, tetapi pemendapan akan sentiasa berlaku. Jadi semua perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh sebelum kita membuat keputusan.” katanya kepada pemberita di sidang media PPS Dewan Suarah Bintulu, petang tadi.

Menurut beliau, pendekatan jangka panjang amat diperlukan memandangkan masalah banjir tidak boleh diselesaikan melalui langkah sementara atau jangka pendek semata-mata.

Jawatankuasa itu akan meneliti pelbagai aspek termasuk kejuruteraan, infrastruktur, sistem perparitan, pengurusan sungai, selain kesan terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.

“Kita mahu penyelesaian yang terbaik dan mampan. Sebab itu perancangan jangka panjang menjadi keutamaan,” tambahnya.

Abang Johari turut menegaskan kerajaan negeri tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang, khususnya dari segi kos, keberkesanan dan kelestarian penyelesaian.

Beliau berkata, setiap perancangan yang dirangka mesti memberi impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat, terutama penduduk di kawasan yang sering terjejas akibat banjir.

Wartawan/Foto: ISKANDAR SHAH

beritartmsarawak #rtmsarawaknews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *