





Palmtop Vegeoil Products Sdn. Bhd. membuktikan komitmen berterusan dalam membantu rakyat Johor melalui kerjasama erat dengan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Pada tahun ini, syarikat yang berpangkalan di Pasir Gudang itu menyumbangkan 2,400 botol minyak masak (1 liter) setiap bulan untuk tempoh setahun bagi diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri.
Sesi penyerahan disempurnakan Dato’ RA Sukumaran, Pengerusi Eksekutif Palmtop kepada Dato’ Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ dan Encik Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJhari ini (15 Januari).
Dato’ RA Sukumaran berkata, sebagai syarikat yang bertapak di Johor, menjadi tanggungjawab mereka untuk berbakti semula kepada negeri ini.
“Sebagai syarikat tempatan di Johor, kami merasa terpanggil untuk bersama-sama memikul amanah membantu rakyat negeri ini.
“Melihat dedikasi luar biasa YSIJ dalam menjaga kebajikan rakyat, kami berharap agar ia dapat terus mengekalkan tradisi sumbangan minyak masak ini pada setiap tahun.” kata beliau kepada Royal Press Offic (RPO)
Palmtop sebelum ini menjadi penyumbang setia kepada YSIJ sejak November 2020 hingga 2023.
