KPDN sita 199 tong gas LPG hasil operasi di Sepang

Oleh: Sholina Osman
17 JAN. 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyita 199 tong gas LPG hasil
operasi ke atas sebuah premis tanpa nama yang beralamat di Kampung Sungai Keroh, Sepang, Selangor pada 5 Januari lalu.

Kenyataan media Bahagian Penguat Kuasa KPDN memaklumkan turut disita termasuk peralatan komunikasi, peralatan pengendalian, sebuah lori serta peralatan lain yang berkaitan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM144,427.00.

“Operasi yang dilaksanakan susulan maklumat risikan hasil aduan awam ini mendapati dua orang lelaki warga asing sedang melakukan pemindahan tong gas petroleum cecair (LPG) daripada sebuah lori, manakala seorang lelaki warga tempatan turut berada di lokasi kejadian,” kata kenyataan itu lagi.

Kedua-dua warga asing tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri untuk tujuan pemeriksaan.

BERURUSAN SECARA BORONG

Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu menjalankan aktiviti berurusan secara borong atau runcit serta pengendalian barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Pekerja di premis telah ditahan dan dibawa ke pejabat untuk dirakam percakapan bagi siasatan lanjut.

KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

AKTA KAWALAN BEKALAN

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *